Saturday, Jul 31st

Last update:11:46:59 AM GMT

You are here: Home

Tempat Rekreasi Dan Perkelahan Lokasi Utama Aktiviti Maksiat

E-mail Print PDF

http://buletinonline.net/images/berita/maksiatsekayu.jpgHulu Terengganu – Tempat-tempat rekreasi dan  perkelahan terutamanya kawasan air terjun dikenal pasti sebagai lokasi utama menjadi pilihan pasangan kekasih untuk memadu kasih dengan melakukan maksiat atau perbuatan tidak senonoh.


Hakikat itu diakui Ketua Unit Penguat kuasa Syariah Hulu Terengganu, Yong Embong yang menyifatkan perbuatan tidak bermoral itu bukan sekadar menyalahi agama tetapi turut menimbulkan pandangan negatif dalam kalangan pelancong.

Menurutnya, berdasarkan kes tangkapan khalwat sebelum ini, selain pasangan ‘berasmara’ dalam rumah, pihaknya juga berjaya mencekup pasangan di tempat perkelahan terutamanya individu yang berdua-duaan dalam kereta di kawasan sunyi sehingga boleh menimbulkan syak wasangka.

“Individu terbabit bukan sekadar dicekup atas tuduhan berkhalwat di dalam bilik atau rumah sahaja tetapi juga di tempat awam terutamanya apabila pasangan melakukan perbuatan tidak senonoh seperti bercumbuan atau berpelukan.

“Malah, ada kes yang berjaya dicekup apabila pasangan ‘berasmara’ di atas bangku, terutamanya di tempat perkelahan.

“Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan pandangan negatif terutamanya dalam kalangan pelancong, apatah lagi Pantai Timur sememangnya terkenal dengan nilai ketimurannya,” katanya sebagaimana dipetik akhbar Sinar Harian.

Menurut Yong, pihaknya sentiasa mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kerana mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama dan pastinya tiada sebarang kompromi bagi pasangan yang didapati bersalah selepas dicekup berkhalwat.

“Ibu bapa juga seharusnya cakna dan ambil tahu perihal anak remaja mereka kerana majoriti kes tangkapan khalwat membabitkan pasangan berumur 25 tahun ke bawah,” tambahnya.

BuletinOnline Channel

You must have Flash Player installed in order to see this player.